PETALING JAYA: Tiga anak kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh yang berada di Singapura akan dirakam keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita berkenaan sejak 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, semakan awal mendapati mangsa mempunyai tiga orang anak dan kini berada di negara tersebut.
“Proses rakaman keterangan terhadap dua anak wanita berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada tindakan melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut berkaitan identiti ketiga-tiga individu berkenaan termasuk umur dan jantina mereka.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, siasatan masih diteruskan sama ada suami mangsa kini berada dalam senarai suspek.
Terdahulu, media melaporkan pihak polis menjalinkan kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) serta agensi penguatkuasa berkaitan di Singapura bagi melaksanakan proses rakaman keterangan.
Setakat ini, seramai 27 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Dalam sidang akhbar sebelum ini, Rusdi turut memaklumkan lapan individu termasuk seorang wanita dipercayai menyamar sebagai pegawai polis sebelum membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Pamela dilaporkan hilang selepas menaiki sebuah kenderaan e-hailing dari kediamannya di Cheras menuju ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. – UTUSAN