KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) telah mempertimbang dan meluluskan draf tambahan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata, draf itu telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Eksekutif SEANWFZ dalam mesyuarat yang diadakan pada 29 April lalu.
“Tambahan ini menyediakan asas perundangan untuk membolehkan negara-negara ASEAN dan Timor-Leste melaksanakan prosedur domestic yang diperlukan bagi penyertaan.
“Kelulusan ini menandakan satu langkah penting dalam proses integrasi Timor-Leste ke dalam kerangka politik dan keselamatan ASEAN,” katanya hari ini.
Mesyuarat AMM itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang dijadualkan bermula esok.
Menurut kenyataan itu, sepanjang mesyuarat AMM ASEAN – Timor-Leste itu, semua negara mengulangi komitmen mereka terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi yang semakin meruncing.
“Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh autonomi strategik ASEAN, memajukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, serta meningkatkan keupayaan rantau ini untuk memainkan peranan yang proaktif dan membina dalam hal ehwal serantau dan global,” katanya.
Bagi isu Myanmar, Wisma Putra berkata, Mohamad telah mencadangkan peluasan dan lanjutan gencatan senjata melebihi kawasan-kawasan yang terjejas ketika ini.
Katanya, ia adalah sebagai langkah membina ke arah penghentian keganasan yang lebih meluas dan pelaksanaan berkesan Konsensus Lima Perkara (5PC).
“Beliau turut menekankan kepentingan memastikan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi penyaluran bantuan kemanusiaan dan pemulihan komuniti-komuniti yang terjejas,” katanya.
Mesyuarat turut meluluskan Garis Panduan bagi Memudahkan Akses Timor-Leste kepada Instrumen dan Perjanjian Undang-Undang ASEAN, menandakan kemajuan berterusan ke arah keahlian penuh negara tersebut dalam ASEAN di bawah kerangka Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN. – UTUSAN