MELAKA: DAP Melaka menyifatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh seolah-olah seperti orang yang keliru apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia selamanya merupakan Tanah Melayu dan perkara itu tidak akan berubah.
Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum termasuk warganegara yang menjadikannya sebagai tanah air mereka.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, tiada pihak yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya perlu dipertahankan oleh semua pihak.
“Dr. Akmal telah keliru apabila menggunakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai justifikasi bagi menentang naratif bahawa Malaysia dimiliki oleh semua rakyat Malaysia. Tiada pihak yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan malah ia harus dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia atau parti politik.
“Ini tidak bercanggah dengan fahaman bahawa negara ini adalah milik semua rakyat (orang) Melayu, Cina, India, Orang Asli, rakyat Sabah dan Sarawak serta setiap warganegara yang menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka. Prinsip kewarganegaraan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak memilih kaum, agama atau wilayah.
“Setiap warganegara mempunyai hak yang sama untuk berasa bangga, dilindungi dan diterima sebagai sebahagian dari negara ini. Patriotisme yang sebenar terletak pada perpaduan bukan perpecahan,” katanya.
Sebelum ini, Muhamad Akmal dilaporkan mengingatkan Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp supaya memahami sejarah dan asas pembentukan negara terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan tidak menjadi seperti ‘kaduk naik junjung’.
Saranan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Roger bahawa Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif, sebaliknya adalah milik semua warganegaranya tanpa mengira kaum. – UTUSAN