DPMM gesa kerajaan tangguh laksana duti setem

DPMM gesa kerajaan tangguh laksana duti setem

NORSYAHRIN HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan duti setem ke atas kontrak pekerjaan sehingga Akta Setem 1949 dikaji semula.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, penguatkuasaan Rangka Kerja Audit Duti Setem yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Januari lalu, disifatkan tergesa-gesa dan tidak mengambil kira keluhan pemain industri khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera.

Katanya, tindakan tanpa kajian menyeluruh itu dikhuatiri menimbulkan sentimen negatif dalam kalangan usahawan terhadap gagasan ekonomi Madani lebih-lebih lagi ketika mereka berdepan pelbagai perubahan dasar yang menambah beban kos dan pematuhan peraturan.

“Antara yang membimbangkan ialah pengenalan sistem taksiran kendiri pada 2026, pelaksanaan e-invois dan Malaysian Business Reporting System (MBRS) 2.0 serta rasionalisasi subsidi dan kenaikan gaji minimum,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, beberapa perkara teknikal berkaitan duti setem juga masih samar dan mengelirukan termasuk penalti RM100 atau 20 peratus daripada duti jika kontrak tidak disetem dalam tempoh ditetapkan, serta kategori kontrak yang tertakluk kepada duti setem.

“Sebagai contoh, kontrak pekerjaan jangka pendek, kontrak pekerja asing yang ditandatangani di kedutaan, surat tawaran pelatih dan pekerja individu masih belum dijelaskan secara menyeluruh.

“Tambahan pula, kontrak pekerjaan hari ini tertakluk kepada Akta Pekerjaan 1955 dan mahkamah telah memutuskan bahawa kekurangan setem bukan satu kecacatan dari sudut sahnya perjanjian,” katanya.

Tambah beliau, DPMM berpandangan ambang pengecualian duti setem kepada pekerja bergaji RM300 ke bawah juga sudah tidak relevan dan perlu disemak semula agar selaras dengan realiti pasaran buruh semasa.

Katanya, DPMM bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan program pendidikan dan pendedahan di peringkat negeri dan wilayah, namun menegaskan keperluan fasa ‘mendidik’ benar-benar sampai ke akar umbi.

“Kami berharap agar fasa mendidik ini sampai ke akar umbi melalui penglibatan dewan-dewan perniagaan sebelum ia berkuat kuasa, bukan sekadar pengumuman arahan semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN