KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 16 Jun depan untuk tarikh serahan beberapa dokumen termasuk dokumen sulit bagi kes seorang bekas pengurus Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang didakwa cuba mendedahkan maklumat sulit syarikat itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), tahun lalu.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa masih terdapat beberapa dokumen yang perlu disusun terlebih dahulu.
“Setakat ini hanya sebahagian sahaja dokumen yang telah diserahkan. Beberapa dokumen sulit masih belum diberikan kerana perlu diklasifikasikan semula,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulhilmi Latif.
Pada prosiding hari ini, peguam bela, Fadhli Sutris yang mewakili tertuduh, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni, 40, mengesahkan telah menerima dokumen.
“Saya sahkan telah diserah 13 dokumen semuanya,” kata peguam itu.
Pada 19 April lalu, Mohd. Khairul mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros ketika bertugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 3.19 hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1), jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN