Dituduh curi kereta mewah, Zarina Anjoulie buat laporan polis

Dituduh curi kereta mewah, Zarina Anjoulie buat laporan polis, fail saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zarina Anjoulie tampil menyangkal dakwaan dirinya mencuri sebuah kereta mewah dan menganggap perkara itu sebagai fitnah.

Menurut Zarina, kenderaan tersebut diserahkan kepadanya atas kes ganti rugi yang masih belum diselesaikan namun, pihak berkenaan tidak menjelaskan situasi sebenar.

“Saya sebenarnya memilih untuk berdiam diri sebelum ini mengenai isu saya dituduh mencuri dan menyorok kereta Mercedes Benz. Tapi ramai yang bertanya, video pun dah viral di Tiktok, jadi saya nak jelaskan cerita itu tak benar sama sekali.

“Kereta itu diberikan kepada saya sebagai cagaran kerana ada ganti rugi yang pihak tersebut perlu lunaskan tapi benda itu tak diceritakan langsung pihak sana. Semua bukti ada dengan saya,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Tambah Zarina, dia telah membuat dua laporan polis berkaitan pemilikan kenderaan tersebut serta tindakan pencerobohan dan fitnah yang dilemparkan oleh individu berkenaan.

“Semalam, pihak polis membuat serbuan ke rumah individu tersebut untuk penangkapan, tetapi dia dilepaskan dengan jaminan polis.

“Sekarang saya perlu serahkan segala dokumen penting seperti geran tanah dan rumah kerana dia bukan saja menceroboh, tetapi memfitnah saya dan keluarga.

“Sedangkan dia tahu kenapa kereta itu ada pada saya. Itu adalah atas persetujuan bersama disebabkan ada perkara yang perlu dia selesaikan dengan saya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zarina mengakui kesal kerana ahli keluarganya turut terkena tempias tindakan keterlaluan individu terbabit yang dipercayai menceroboh kediaman ibunya serta bertindak kurang ajar.

“Awak membuat fitnah, datang dengan biadabnya membuat live video di luar kediaman keluarga saya dengan emak saya. Emak saya yang pernah jemput dan bagi awak dan keluarga awak makan.

“Seperti itu awak biadab dengan keluarga saya. Menceroboh, memfitnah saya mencuri dan tak hormat dengan ibu saya, itu sebab saya ambil tindakan,” katanya.

Tegas Zarina, dia juga sudah menyerahkan isu tersebut kepada peguamnya untuk tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman malu terhadap individu berkenaan.

“Saya diam selama ini sebab sedang ambil tindakan undang-undang. Selepas ini peguam saya akan saman malu.

“Bukan itu sahaja, dia juga membuat fitnah terhadap rakan baik saya dengan menuduh kawan saya menculik anaknya demi jumlah tontonan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video seorang wanita memberi amaran kepada seorang selebriti agar menyerahkan semula kenderaan kepunyaannya atau berdepan tindakan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN