KUANTAN: Sebanyak 200,000 liter minyak diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM480,000 yang cuba diseludup melalui sebuah kapal dirampas dalam serbuan di sebuah jeti di Pekan, dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut merampas kapal bernilai RM85,000 yang digunakan bagi membawa diesel tersebut.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam serbuan hasil maklumat risikan yang diterima daripada polis itu menemukan sebuah kapal yang sedang berlabuh dalam keadaan mencurigakan di jeti berkenaan.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati kapten kapal yang merupakan seorang warga asing telah memaklumkan bahawa kapal tersebut terpaksa berlabuh kerana mengalami kerosakan.
“Dia turut memaklumkan bahawa minyak diesel yang dibawa digunakan bagi tujuan pembaikan kapal dan untuk diagihkan kepada 30 buah kapal lain milik syarikat yang berpangkalan di Miri, Sarawak,” katanya hari ini.
Jezlily berkata, kapten kapal berkenaan juga sudah mengisytiharkan sejumlah 200,000 liter minyak diesel berada dalam simpanan kapal semasa pemeriksaan diadakan.
Katanya, namun, kapten kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan atau urus niaga minyak diesel yang dibawa.
“Pemeriksaan fizikal seterusnya menjumpai cecair berwarna kuning disyaki minyak diesel bersubsidi dalam lapan kompartmen tangki kapal.
“Berikutan kegagalan mengemukakan dokumen sah dan penemuan bahan kawalan berjadual tanpa lesen sah, satu tindakan kes diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.
Jelasnya, tindakan sitaan dibuat ke atas minyak diesel disyaki sebanyak 200,000 liter dengan nilai anggaran RM480,000 dan sebuah kapal dianggarkan RM85,000 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM565,000.
Katanya, pihaknya turut menahan kapten kapal serta seorang individu bagi siasatan lanjut. – UTUSAN