Deklarasi Kuala Lumpur dilancar pada Sidang Kemuncak ASEAN

Deklarasi Kuala Lumpur dilancar pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

FAHMI Fadzil pada sidang akhbar mingguan selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu dokumen penting dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur bakal dilancarkan secara rasmi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 27 Mei ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelancaran deklarasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memacu agenda serantau, khususnya dalam memperkukuh kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN.

“Insya-Allah, salah satu daripada dokumen penting yang akan diluncurkan secara rasminya sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini ialah Deklarasi Kuala Lumpur.

“Setelah deklarasi ini dilancarkan, pihak Kementerian Luar Negeri bersama Sekretariat ASEAN akan memastikan maklumat dan kandungan dokumen dapat dikongsikan secara terperinci kepada rakyat serta pihak media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, deklarasi itu dijangka merangkumi pelbagai aspek penting seperti kerjasama digital, pembangunan ekonomi dan keselamatan serantau yang selari dengan matlamat ASEAN untuk memperkukuh integrasi dan pembangunan mampan di rantau ini.

Menurut beliau, penghasilan deklarasi tersebut juga merupakan antara pencapaian utama Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Deklarasi tersebut bakal menjadi rujukan penting kepada hala tuju strategik rantau ini dalam menghadapi cabaran global masa kini,” katanya.

Minggu lalu, Fahmi turut menyarankan orang ramai di Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu yang akan berlangsung di KLCC.

Katanya, sempena sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China, sejumlah ketua kerajaan dan ketua negara akan tiba di Malaysia sama ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang atau Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mulai Khamis ini.

Sidang tersebut menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan pelbagai isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN