TIADA siapa boleh menduga berapa lama agaknya tempoh hayat cinta antara dua manusia. Jika kita mahu merenung sedikit panjang, walaupun cinta sudah hilang, tidak semestinya harus berhujung perang. Ada banyak keadaan, anak-anak terpaksa merasai dinginnya ego, panasnya amarah, dan keringnya kasih antara dua dewasa yang tak mampu memadam sengketa.
Pelakon, Emma Maembong atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, tidak menyalahkan takdir apabila ibu dan ayahnya berpisah ketika usianya masih muda. Emma dan sepuluh beradik yang lain faham, keadaan mereka dibesarkan dalam ‘broken family’ atau keluarga tidak harmoni akan berbeza dengan rakan sebaya yang lain.
Mengimbau detik itu secara eksklusif kepada Pancaindera, Pelakon Filem Popular, Anugerah Bintang Popular 2018 selalu berada dalam keadaan yang tersepit harus memilih meluangkan masa bersama bapa, Ismail Embong atau ibunya yang berdarah Scotland, Yatimah Zainab.

“Bila berasal daripada ‘broken family’ saya faham perasaan sukar yang terpaksa dihadapi semasa masih kecil. Selepas bercerai, ayah sudah tidak mahu jumpa mama dan sebaliknya. Masing-masing bergaduh.
“Jadi kami anak-anak kena memilih mahu jumpa siapa. Kalau buka puasa dan sambut hari raya Aidilfitri suasana kami berbeza. Waktu itu ada rasa sedih dan murung.
“Kalau boleh saya mahu ada satu gambar keluarga, lengkap dengan semua orang, walaupun kami tak lagi hidup bersama. Tak apa, asalkan semua ahli keluarga ada dalam gambar itu. Tapi itulah perkara yang saya tak pernah dapat,” katanya tenang.
Tidak ubah nama panggilan, kekal ‘baby’
Ketika Emma menyambut tangan seorang lelaki, Muhammad Shazli Azhar dengan menawarkan diri menjadi suami pada 20 Februari 2020. Dia sendiri tidak menyangka rumah tangganya juga mengikuti nasib serupa apabila mereka berpisah pada 7 Oktober 2024.
Namun Emma dan bekas suami sangat matang menguruskan perasaan. Tiada sindir-sindiran, tiada amukan, tiada secalit kemarahan pun ditunjukkan mereka di media sosial. Bahkan selepas mengumum perceraian, masing-masing dilihat mesra makan bersama anak-anak di khalayak.

“Kalau boleh saya tidak mahu perceraian ini berlaku dan mahu buat yang terbaik untuk keluar daripada keadaan itu. Tapi apabila sudah melalui perkahwinan, saya faham betapa sukarnya untuk ada satu keluarga yang sempurna.
“Tapi, saya tidak mahu meneruskan kitaran saling membenci melalui perceraian. Berapa ramai di luar sana yang berasal daripada keluarga berpecah, bila mereka berkahwin, cerai, mereka teruskan berpecah macam ibu ayah mereka. Sedangkan mereka boleh hentikan.
“Saya tidak mahu jadi macam tipikal orang yang sudah berpisah, mereka berebut hak penjagaan anak tapi hujung-hujung tidak jaga pun anak itu, sekadar mahu melepaskan rasa tidak puas hati dan ego,” tegasnya.

Walaupun sudah tidak lagi bergelar suami isteri, mereka masih mengekalkan panggilan yang sama iaitu ‘By’ (singkatan kepada baby) supaya dua orang anaknya yang sedang membesar, Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah tidak merasa ada yang berubah.
“Jika berlaku perpisahan, ia antara saya dan dia. Ia masalah kami berdua. Bukan salah anak-anak. Bagi seorang anak, ayah dan ibu mereka tetap superman dan superwoman mereka.
“Saya dan bekas suami memelihara hubungan baik demi anak. Jika seseorang itu bukan suami atau isteri yang baik, bukan bermakna mereka ayah dan isteri yang teruk.
“Sampai sekarang kalau apa-apa saya akan maklumkan ‘By, saya ada penggambaran. By, saya kena terbang ke tempat lain, tolong jaga anak’.
“Kami tidak ubah pun nama panggilan. Takkan lepas cerai terus panggil ‘kau-aku’. kami tak mahu anak-anak rasa ada yang berubah, kalau boleh mahu anak sentiasa gembira,” jelasnya.

Kasihan anak, diejek kerana skandal bapa
Pelakon drama popular Seribu Tahun itu juga menasihati ibu bapa di luar sana agar berhati-hati memuat baik hantaran lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kecurangan, skandal dan kata makian. Ujar Emma, jangan kerana ingin menegakkan perkara yang dipanggil ‘kebenaran’ anak-anak mereka akan menanggung segala tindakan yang dilakukan.
“Sebab itu saya paling tak suka lihat orang bergaduh dedah skandal, bukan aib rumah tangga di media sosial. Mereka tidak fikirkah bagaimana keadaan anak?
“Bila sudah besar, anak-anak ini akan google baca tentang ayah dan emak mereka. Belum lagi di sekolah orang akan bertanya, rakan-rakan akan ejek. Sebab itu saya tak mahu semua ini terjadi kepada anak saya. Sebagai mak ayah, kita kena fikir semua itu.
“Berhentilah. Terimalah antara kita sudah tiada jodoh. Itu masalah kita berdua.
“Percayalah, anak-anak kita akan cepat membesar tapi setiap apa yang pernah kita hebohkan di media sosial akan kekal selamanya,” katanya menutup temu ramah. -UTUSAN