KUALA LUMPUR: Mengimbau zaman kegemilangan selepas keluar daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelima, penyanyi, Dafi Ismai, 36, dilamar menjadi duta kepada 22 jenama berbeza.
Malah, Dafi atau Gadaffi bin Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu berusia 19 tahun mengakui kehidupannya sebagai artis berubah serta merta apabila menerima undangan pelbagai tempat dalam seminggu.
“Dulu dari Kuala Lumpur (KL) saya terbang ke Alor Setar, balik semula KL kemudian ke Pulau Pinang dan Brunei. Waktu itu rasa macam paling ‘superstar’.
“Saya pernah menjadi 22 duta untuk beberapa jenama. Tapi tidak sampai menjadi jutawan, bayaran ketika itu tidak sama seperti sekarang.
“Apapun, semua itu kenangan manis. Ia bukan sesuatu yang saya keluhkan tapi perkara saya sudah dijangka.
“Saya pun tahu tidak akan berada di puncak selamanya. Bila saya sudah sampai ke siling, tempat seterusnya saya mendarat adalah ke bawah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Studio Village, baru-baru ini.
Walaupun sudah tidak lagi mengecap populariti seperti dahulu, namun penyanyi lagu hit Bila Terasa Rindu itu bersyukur segala kenangan indah itu pernah terjadi dalam hidupnya.
“Sekarang saya sudah tidak seperti dahulu, tapi saya bersyukur kerana pernah merasa memori itu.
“Tuhan sudah beri rasa. Ada yang bertahun mencuba tapi tidak pernah dapat sedangkan bakat mereka besar.
“Mungkin ada yang kata saya laris sebab muka. Mula-mula saya nafikan, tapi sekarang bila sudah dapat pujian begitu daripada orang, saya iyakan,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan lain, menurut Dafi, dia sedang mempertimbangkan permintaan peminat untuk menyanyikan lagu berentak perlahan.
Malah, Dafi juga sudah melakukan perbincangan untuk mengumpul bahan daripada komposer seperti Hael Husaini dan Iqie Hugh.
“Saya pernah bekerjasam dengan Hael sebelum ini dan teringin bekerjasama lagi. Kalau ada rezeki, doakan,” ceritanya. -UTUSAN