PETALING JAYA: “Curang adalah pilihan bukan takdir.”
Demikian kata pelakon dan penyanyi, Bella Astillah ketika meluahkan rasa simpati terhadap individu yang berdepan dengan masalah rumah tangga yang berpunca daripada orang ketiga, sejak kebelakangan ini.
Pernah melalui nasib yang sama, Bella berkata, dia berharap individu yang berdepan dengan situasi tersebut menjalani kehidupan yang lebih bahagia di kemudian hari.
“Sekarang ini kita lihat ramai sangat orang tersakiti di media sosial, tak kisah suami ataupun isteri. Ramai juga pasangan yang bercerai dan dicurangi.
“Sebenarnya sangat sedih dan kita tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi saya simpati. Kita hanya mendoakan kehidupan masing-masing,” katanya menerusi sebuah video yang tular di TikTok.
Dalam pada itu, Bella turut menegaskan kepada setiap pasangan untuk bersifat jujur agar tidak saling menyakiti antara satu sama lain meskipun rasa cinta itu sudah tidak wujud di dalam hati.
“Kalau kita ada pasangan, janganlah buat sesuatu yang tak baik itu secara senyap.
“Kalau tidak boleh setia, bagitahu saja pada pasangan kalau sudah tak boleh nak teruskan hubungan itu. Lebih baik jujur. Saya seorang yang sangat sukakan kejujuran,” jelasnya.
Tertarik dengan perkongsian spontan itu, rata-rata rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat pelantun lagu Berpisah Lebih Indah tersebut di ruangan komen.
Malah, ada juga yang mengagumi ketabahan ibu kepada dua cahaya mata itu mengharungi kehidupannya setelah kembali solo selain mendoakan agar dia bahagia.
Pada 13 Jun tahun lalu, Bella disahkan bercerai dengan Alif Aziz susulan kes khalwat yang melibatkan penyanyi lelaki itu dengan pelakon, Ruhainies.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.-UTUSAN