PETALING JAYA: Seramai 25 warga asing cuba meninggalkan negara ini secara tidak sah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan pihak berkuasa dalam operasi dijalankan sejak Januari hingga April lalu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, kesemua warga asing terbabit terdiri daripada warga Vietnam, Kemboja, India dan Indonesia.
Katanya, mereka ditahan kerana disyaki tinggal melebihi tempoh sah serta dipercayai memasuki negara ini melalui cara yang tidak mengikut prosedur.
“Dalam tempoh sama, seramai empat pegawai turut disiasat dipercayai bersubahat dalam kegiatan ‘counter setting’ iaitu melepaskan individu tertentu melepasi kaunter pemeriksaan imigresen tanpa melalui prosedur yang sepatutnya.
“AKPS menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah laku, sambil memaklumkan bahawa tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil sekiranya siasatan membuktikan wujudnya pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AKPS turut memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.
“Kami akan terus mempertingkatkan pemantauan serta menambah baik mekanisme penguatkuasaan di semua pintu masuk negara.
“Pemantauan rapi akan diteruskan di semua lokasi strategik termasuk lapangan terbang dan pelabuhan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta pelolosan warga asing,” katanya. – UTUSAN