KUALA LUMPUR: Terus mencipta fenomena, Konsert GenKRU yang dipentaskan selama empat malam di Axiata Arena sejak minggu lalu, mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) untuk dua kategori yang bakal diumumkan, malam ini.
Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, sambutan yang luar biasa itu juga menjadi punca pertambahan hari untuk konsert kumpulan ikonik itu.
“Sebaik konsert keempat berakhir esok (malam ini) kami akan umumkan mengenai pengiktirafan MBR. Selepas konsert GenKRU malam pertama dan kedua, laman web tiket konsert itu turut menerima kunjungan luar biasa.
“Kami tidak sangka GenKRU mendapat sambutan yang hangat sehinggakan jumlah pengunjung di laman web itu melonjak kepada 169,000 orang daripada 93,000 orang.
“Sambutan itu juga yang menjadi punca kami membuat keputusan untuk tambah lagi satu malam. Setakat ini sahaja, tiket juga sudah terjual dalam anggaran 75 peratus selepas kami buat pengumuman malam keempat,” katanya.
Iman berkongsi perkara itu usai Konsert GenKRU malam ketiga di Axiata Arena dalam sebuah sesi sidang media, malam tadi.
Terharu dengan sambutan yang diterima, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim menganggap penyatuan semula mereka untuk konsert kali ini lebih kepada untuk meraikan peminat yang setia menyokong mereka.
Kata Yusry, sambutan yang diraih sejak malam pertama sahaja sudah membuat mereka lepas ‘gian’ untuk mengimbau kembali nostalgia dalam kalangan peminat.
“Sejak malam pertama konsert GenKRU, saya sudah lepas ‘gian’. Saya menganggap malam ketiga dan keempat ini sebagai malam untuk raikan peminat.
“Kesungguhan mereka menghangatkan konsert kami membuatkan kami lebih bersemangat untuk berikan yang terbaik untuk malam seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, Norman menyifatkan kesungguhan peminat untuk melihat mereka tiga adik-beradik kembali beraksi di pentas mega itu sangat luar biasa, bahkan tidak masuk akal kerana pertambahan hari itu.
“Kami tidak pernah terfikir akan ada hari keempat untuk konsert ini. Tetapi ini semua adalah dorongan daripada peminat dan pihak penganjur sendiri.
“Apabila melihat sambutan peminat yang bersungguh-sungguh mahu melihat kami membuat persembahan, timbul rasa kasihan dan bersetuju untuk adakan malam keempat.
“Konsert ini mengimbau kenangan mereka semula di mana konsert ini bukan semata-mata untuk kami tapi untuk mereka kembalikan nostalgia itu,” katanya.
Pada malam ini, Konsert GenKRU bakal menampilkan kumpulan wanita tersohor era 1990-an iaitu Feminin sekali gus menjadikan konsert itu malam yang istimewa buat peminat.
Difahamkan, KRU juga bakal menampilkan seorang lagi penyanyi undangan yang masih dirahsiakan. -UTUSAN