TAMPIN: Seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Syed Sirajuddin di Gemas, di sini, meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas di kantin sekolah berkenaan semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, anggota polis di pejabat pertanyaan Balai Polis Gemas telah menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan terdapat seorang lelaki telah meninggal dunia di Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin di sini kira-kira pukul 9.20 pagi.
“Siasatan telah dijalankan dan mendapati mangsa merupakan seorang guru. Kira-kira pukul 7.40 pagi, mangsa bersama beberapa orang guru lain sedang bersarapan di kantin sekolah dan secara tiba-tiba mangsa telah sesak nafas serta mengalami kekejangan otot badan.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin dan pihak hospital telah memberi bantuan pernafasan namun usaha untuk menyelamatkan mangsa gagal. Mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini.
Ujar Amiruddien lagi, bedah siasat telah dilakukan di Hospital Tampin dan sebab kematian adalah akibat serangan jantung. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Fridaus Rustam berkata, Allahyarham Cikgu Khairul Anuar merupakan seorang guru dan sahabat yang sangat baik.
“Dalam kegembiraan menyambut hari guru, kami dikejutkan dengan berita duka, seorang guru dari SK Kem Syed Sirajuddin, Gemas telah rebah dan neninggal dunia di sekolah.
“Allahyarham Cikgu Khairul Anuar Ismail telah kembali ke rahmatullah dan menghembuskan nafas di hari Jumaat yang mulia dan hari guru. Banyak jasa sepanjang hayatnya masih ada terutamanya anak-anak SK Kem Syed Sirajudin Gemas,” katanya. – UTUSAN