“Kehidupan di kawasan pedalaman juga kadangkala agak mencabar, terutamanya dari segi logistik dan kesulitan perhubungan, namun ini adalah pengorbanan yang saya anggap berbaloi demi masa depan murid saya,” kata Baggio Seman seorang guru di Baram., Sarawak .
Guru di kawasan luar bandar memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan anak-anak yang sering terpinggir daripada arus pendidikan utama.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap berazam untuk mengubah nasib pelajar dan memberikan peluang pendidikan yang setara dengan murid di kawasan bandar.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Baggio Seman, 29 yang berkhidmat sebagai Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lenei Baram, Sarawak selama lebih empat tahun akui bahawa mengajar di luar bandar bukanlah tugas yang mudah.
“Menghadapi pelbagai kekangan seperti akses internet yang terhad, infrastruktur asas yang tidak mencukupi, serta cabaran bahasa dalam pelaksanaan program seperti Dual Language Programme (DLP), kekurangan teknologi dan alat bantu mengajar memaksa guru mengambil pendekatan kreatif untuk memastikan pelajaran dapat disampaikan dengan baik kepada murid-murid.
“Selain itu geografi kawasan pedalaman juga menambah kesukaran. Laluan becak ketika musim hujan dan ketiadaan bekalan air bersih tetap adalah antara cabaran fizikal yang menuntut ketabahan mental tinggi.
“Paling terasa apabila isolasi daripada pusat bandar menyukarkan guru untuk mengikuti perkembangan profesional dan berkongsi amalan terbaik dalam pengajaran,” katanya.
Bagaimanapun katanya, di sebalik segala kesukaran itu terselit nilai perjuangan dan semangat yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Mengajar di kawasan pedalaman ini, memberi peluang kepada anak-anak di luar bandar untuk mendapatkan pendidikan yang setara dengan anak-anak di kawasan bandar.
“Saya percaya bahawa setiap insan tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal mereka, berhak mendapatkan pendidikan yang berkualiti,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama, dia bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk mencabar dirinya mengembara lebih jauh untuk menimba ilmu di tempat baharu.
Pesan Baggio, segala cabaran ini tidak pernah mematahkan semangat mereka sebagai pendidik. Sebaliknya, ia menguatkan lagi tekad mereka sebagai pendidik untuk terus berjuang demi anak-anak pedalaman.
Katanya motivasi utamanya untuk terus berkhidmat di kawasan padalaman adalah melihat perubahan dalam diri murid.
“Setiap kali saya melihat mereka berkembang, berjaya, dan mencapai potensi mereka, saya berasa sangat dihargai dan bersemangat untuk terus berkhidmat.
“Saya yakin bahawa pendidikan adalah kunci kepada perubahan, dan saya ingin menjadi sebahagian daripada perubahan itu. Saya juga turut berpegang kepada perinsip Baha’u’llah, seorang tokoh pendidik universial yang menyatakan.
“Anggaplah manusia bagaikan lombong yang kaya dengan permata yang tak terkira nilainya. Pendidikan sahaja, boleh menyebabkannya untuk membongkarkan khazanahnya, serta membolehkan umat manusia mendapat manfaat daripadanya.”
Katanya, kalau bukan kita siapa lagi yang mampu membantu anak- anak membongkarkan khazanah yang ada pada diri mereka.
“Bagi mengelakkan tekanan, pengurusan masa adalah penting bagi saya. membuat perancangan jadual dengan teliti, menetapkan had antara waktu kerja dan masa peribadi, serta memberi perhatian kepada kesihatan fizikal dan mental saya.
“Saya juga percaya bahawa hanya dengan menjaga keseimbangan ini, saya dapat terus memberi yang terbaik buat diri saya sendiri dan juga kualiti kerja saya. Mengurus masa adalah kunci agar saya tidak kehilangan keseimbangan antara tugas dan kehidupan peribadi.
“Antara momen paling bermakna dalam kerjaya saya adalah apabila seorang murid yang dulunya kurang bersemangat akhirnya berjaya meraih keputusan yang membanggakan.
“Melihat mereka tersenyum dengan kegembiraan dan bangga dengan pencapaian mereka adalah kepuasan yang tiada tandingan. Momen seperti ini mengingatkan saya tentang betapa pentingnya peranan seorang guru dalam kehidupan murid.
“Selain itu, pengalaman yang saya percaya semua guru yang berkhidmat di padalaman adalah penerimaan dan penghargaan penduduk tempatan yang menganggap kita bukan orang asing dan diterima menjadi sebahagian daripada mereka dan juga, kemampuan hidup berdikari.
“Saya melihat impak kerja saya bukan hanya pada pencapaian akademik murid, tetapi juga pada perubahan sikap mereka terhadap pembelajaran.
“Mereka mula lebih percaya pada diri sendiri, lebih bersemangat untuk belajar, saya berharap pendidikan yang saya berikan dapat membuka lebih banyak peluang kepada mereka, dan membantu mereka mencapai impian,” katanya.
Beliau berharap pendidikan di kawasan pedalaman akan terus berkembang dengan adanya lebih banyak sumber dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya mahu melihat anak-anak pedalaman mencapai potensi penuh mereka dan berjaya, tidak kira di mana mereka berada.
Faktor sosiobudaya masyarakat setempat memang mempengaruhi pendekatan pengajaran yang Baggio sampaikan. Setiap kawasan mempunyai norma dan nilai tersendiri yang perlu saya hormati. Saya pastikan setiap pengajaran saya relevan dengan pengalaman dan kehidupan seharian murid.
Sebagai seorang pendidik, salah satu pengorbanan terbesar beliau adalah masa peribadi serta berjauhan dengan kehidupan bandar yang serba serbi ada tersedia dan kesenangan dan keseronokan yang semua anak muda inginkan, tetapi komitmen terhadap memberikan pendidikan kepada murid memerlukannya untuk sentiasa memberi yang terbaik kepada anak-anak di sini.
“Mengajar di pedalaman bukan sekadar tentang mendidik ia adalah tentang membina harapan, membuka peluang, dan menyalakan cahaya masa depan buat generasi yang akan datang.
“Di sinilah saya belajar bahawa kemanisan dalam profesion ini lahir daripada pengorbanan, keikhlasan, dan kasih sayang yang tulus terhadap anak-anak didik,” katanya. – UTUSAN