PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengumumkan keputusan pemilihan enam cabang PKR yang berlangsung pada hari ini.
Sebanyak enam tersebut iaitu Selayang, Jempol, Pasir Salak, Semporna, Silam dan Besut mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tertentu seperti Ketua Cabang, Ketua Wanita, Ketua AMK dan AJK Cabang.
Bagi jawatan Ketua Cabang Selayang, Chua Wei Kiat menang jawatan itu dengan 1,945 undi manakala Wan Ibnul Bahar Wan Ismail (1,693 undi), manakala seorang lagi calon hilang kelayakan bertanding.
Sebelum ini, Wei Kiat gagal dalam percubaan untuk memimpin Cabang Selayang apabila tewas dalam pertembungan tiga penjuru.
ADUN Rawang itu pernah mendakwa terdapat gerakan terancang membawa masuk ahli parti lain bagi mempengaruhi pemilihan Cabang PKR Selayang.
Untuk Ketua Cabang Jempol pula, ia dimenangi Manivanan Gowin dengan 571 undi berbanding tiga calon termasuk seorang lagi yang hilang kelayakan bertanding.
Pemilihan bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol itu diadakan semula selepas keputusan terdahulu yang menyaksikan kemenangan seorang calon dibatalkan.
Pemilihan semula itu dilakukan berikutan JPP mendapati individu itu masih ahli Parti Pejuang Tanah Air ketika memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol, sekali gus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.-UTUSAN