Cecair kimia hasilkan 150kg dadah dirampas di Pengkalan Balak

Cecair kimia hasilkan 150kg dadah dirampas di Pengkalan Balak

MOHD. ZAWAWI Abdullah (kiri) menunjukkan lokasi botol berisi cecair kimia ditemukan dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sebanyak 179 botol cecair kimia campuran untuk memproses dadah sintetik bernilai RM15 juta dirampas dalam operasi di sekitar perairan Pengkalan Balak di sini, minggu lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, bahan itu mampu menghasilkan kira-kira 150 kilogram (kg) dadah sintetik untuk kegunaan sehingga 800,000 penagih.

Katanya, serbuan kira-kira pukul 9.40 malam pada 1 Mei lalu menemukan 15 kotak dibalut plastik hitam di pesisir Pantai Pengkalan Balak berhampiran pusat latihan perahu layar yang merupakan rampasan kali pertama dan terbesar direkodkan membabitkan bahan sedemikian.

“Kotak-kotak tersebut ditemui disusun di atas batu dipercayai menunggu seseorang untuk mengambilnya sebelum diseludup keluar ke negara jiran menggunakan bot. Kotak tersebut dipercayai baharu sahaja diletakkan berdasarkan keadaannya ketika dijumpai.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 179 botol berwarna putih mengandungi campuran cecair kimia yang dianggarkan bernilai RM15 juta. Tiada tangkapan dibuat kerana penyeludup dipercayai bertindak meninggalkan bahan tersebut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Zawawi, terdapat kemungkinan sindiket dadah di negara jiran sedang membangunkan makmal bagi memproses dadah sintetik dengan bantuan sindiket tempatan.

“Kita tidak menolak penglibatan rakyat tempatan yang menyediakan cecair tersebut sebelum diambil oleh penyeludup. Kita yakin pasaran gelap negara jiran sedang mengalami peningkatan permintaan dadah sintetik kerana harganya yang lebih mahal.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana melibatkan bahan kimia terkawal yang disalahgunakan untuk penghasilan dadah berbahaya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya