PETALING JAYA: Tatacara siasatan terhadap Datin Seri Pamela Ling Yueh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan pelbagai persoalan berikutan status wanita itu sebagai suspek sebelum ini.
Bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, lebih membimbangkan apabila Pamela dibebaskan daripada tahanan reman dan dipanggil semula dengan kenyataannya dirakam sebanyak tidak kurang daripada sembilan kali.
Menurut Dzulkifli, berdasarkan undang-undang dan prinsip tatacara jenayah, seseorang individu yang telah ditangkap, direman dan telah memberikan kenyataan semasa dalam tahanan tidak dibenarkan mengambil kenyataan lanjut dalam kapasiti yang sama.
“Ia hanya boleh dibuat melainkan individu tersebut diklasifikasikan semula sebagai saksi dan itu pun hanya dengan kebenaran dan kelulusan jelas daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Mengikut Akta SPRM dan prosedur undang-undang, kuasa penangkapan hanya boleh digunakan apabila wujud bukti yang mencukupi untuk menyokong satu pertuduhan rasmi.
“Penangkapan yang dibuat terlalu awal iaitu ketika siasatan masih dijalankan bukan sahaja boleh dianggap tidak wajar, malah berisiko melanggar prinsip kedaulatan undang-undang dan asas keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pamela, 42 dilaporkan hilang pada 9 April lalu selepas menaiki kenderaan e-hailing dari Cheras dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya.
Dia sebelum itu beliau diarahkan hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan berkaitan penggubahan wang haram.
Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, SPRM seharusnya mencontohi pendekatan yang lebih berhati-hati sebagaimana dalam kes-kes sebelum ini.
“Sebagai contoh, dalam siasatan melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun beliau merupakan seorang suspek, beliau tidak ditangkap dan kenyataannya diambil secara teratur.
“Begitu juga dalam kes Vivy Yusof, beliau turut disiasat sebagai suspek, namun tiada penangkapan dilakukan dan hanya dibawa ke mahkamah apabila pertuduhan difailkan. Contoh-contoh ini menunjukkan pendekatan yang lebih berhemah dan selaras dengan undang-undang yang sewajarnya diamalkan secara konsisten,” jelasnya.
Menurut Dzulkifli lagi, sekiranya susunan peristiwa kes Pamela ini tepat, ia menimbulkan persoalan besar terhadap integriti prosedur dan kesahihan tatacara siasatan yang dijalankan.
“Adalah amat penting untuk semua agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya serta menghormati perlindungan hak individu seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Malaysia. Tiada mana-mana individu wajar dinafikan hak mereka atas nama siasatan,” jelasnya. – UTUSAN