Cabaran guru pujuk anak Orang Asli ke sekolah

Cabaran guru pujuk anak Orang Asli ke sekolah

PEMBELAJARAN secara langsung berlaku di dalam bilik darjah membantu merangsang minat murid Orang Asli di SK Sungai Rual, Jeli Kelantan untuk belajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Guru-guru sentiasa memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Mereka sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan setiap murid mendapat peluang belajar, walau dalam apa jua keadaan termausklah yang diamali guru mengajar di kawasan Orang Asli.

Lebih mengagumkan, terdapat guru-guru yang sanggup berkhidmat di kawasan pedalaman dan terpencil, termasuk guru tidak mempunyai sebarang pengalaman tentang masyarakat Orang Asli.

Mereka berperanan besar dalam memastikan anak-anak dari komuniti minoriti tidak tercicir daripada arus pendidikan. Dengan penuh dedikasi, mereka mendidik dalam keadaan serba kekurangan, tetapi semangat mereka tetap utuh. Mereka inilah wira yang jarang disebut, tetapi amat besar sumbangannya kepada negara.

Bagi Nurul Sazlina Mohamad Salin yang mempunyai pengalaman selama lima tahun di SK Sungai Rual, Jeli menjadi guru Orang Asli adalah suatu pengalaman yang sukar dilupakan. Dia yang merupakan perintis kepada penubuhan kelas prasekolah pada tahun 2020 di sekolah tersebut.

“Memang sukar apabila anak-anak orang asli jadikan Bahasa Jahai sebagai bahasa rasmi mereka. Bahasa Melayu menjadi bahasa kedua, umpama itik bercakap dengan ayam, susahnya untuk faham apa yang mereka perkatakan,’’ katanya.

Dalam usaha untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menuntut ilmu, Nurul Sazlina turut menghadapi tugas berat dalam usaha memujuk murid-murid orang asli datang ke sekolah. Malahan dia terpaksa terjah dari rumah ke orang asli dan membawa anak murid ke sekolah dengan kereta sendiri.

“Demi memastikan murid hadir ke sekolah, saya terpaksa turun ke lokasi, pergi rumah ke rumah dan berdepan dengan ibu ayah memujuk sendiri anak-anak ini ke sekolah’’ katanya lagi.

Mental dan fizikal guru sendiri perlu kuat sebelum turun ke lapangan kerana sikap ibu bapa yang masih lagi leka dan tidak menekankan betapa pentingkan hadir ke sekolah menjadikan anak-anak mereka turut terabai dalam bidang pendidikan.

“Jika guru sendiri yang patah semangat, sama ada secara mental atau fizikal, mana mungkin cikgu dapat menambat jiwa anak-anak Orang Asli datang ke sekolah. Apabila melihat kesungguhan guru datang ke rumah mencari anak – anak murid, secara tidak langsung ibu bapa sedar akan usaha guru membantu anak- anak mereka.

“Kita sematkan di dalam hati bahawa ini adalah tanggungjawab dan amanah demi kemajuan anak bangsa, maka semua cabaran itu menjadi alah bisa tegal biasa, “ujarnya.

Berbeza dengan Noraliza Kamal atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Liz yang merupakan keturunan Orang Asli daripada Kumpulan Melayu Proto begitu teruja apabila dia berjaya ditempatkan ke SK Sungai Rual, Jeli pada tahun 2023.

Selaku guru baharu, dia sangat bermotivasi dan berfikiran positif kerana diberi peluang mengajar masyarakat sendiri. Guru subjek Bahasa Melayu ini begitu bersemangat, namun turut akur bahawa bahasa menjadi cabaran utama dalam komunikasi.

“Mereka adalah daripada kumpulan Negrito dan menggunakan dialek mereka yang begitu pekat sebagai bahasa utama. Memang sukar untuk saya faham apa yang mereka tuturkan,” katanya.

Anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu tidak mudah berputus asa, sebaliknya turut berusaha belajar menguasai bahasa Jahai supaya dapat berkomunikasi dengan murid-murid orang asli. “Guru- guru kanan turut sama membantu jika tidak faham apa yang diperkatakan. Memang perlu menggunakan dwi bahasa sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran supaya apa yang hendak disampaikan dapat difahami oleh mereka,” ujarnya.

Setelah lebih kurang dua tahun berada di sekolah berkenaan, dia tidak lagi kekok untuk berdepan dengan kerenah anak- anak murid malahan semakin kental membimbing mereka dalam dunia pendidikan hari ini.

Pelbagai cara dan kaedah kreatif yang dibuat demi menarik minat murid selain cuba membina keyakinan diri untuk tampil di hadapan. Ini sejajar dengan silibus pendidikan yang menjadi hak semua murid, anak-anak Orang Asli turut mempunyai bakat terpendam.

Noraliza sentiasa mengambil inisiatif menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan sama ada di peringkat sekolah mahu pun jabatan.

Menurut guru besar Ahmad Hayani Awang, beliau bangga dan berasa sangat bertuah kerana Kementerian Pendidikan menempatkan guru-guru muda yang komited ke sekolah. Kehadiran mereka sangat dialu-alukan dan dapat mencurahkan khidmat bakti terhadap masyarakat orang asli.

“ Sebagai guru besar, saya amat berterima kasih kepada kementerian yang menempatkan guru-guru muda bagi memastikan pendidikan anak-anak Orang Asli tidak terabai.

“Curahan idea dan pendapat guru-guru baharu yang sentiasa kreatif dan bersemangat petunjuk baik ke arah menjamin kecemerlangan dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, ’’ kata beliau.

Seorang lagi guru dari masyarakat Orang Asli iaitu Julie Kristy a/p Ng Kee Choo merupakan seorang guru Bimbingan dan Kaunseling yang ditempatkan ke SK Sungai Rual pada tahun 2024.

Penempatan pertama ini menjadikan guru ini begitu teruja apabila dapat mengajar masyarakat sendiri.
Julie yang berasal daripada Maran, Pahang sangat gembira biar pun dia akur bakal berdepan dengan pelbagai cabaran,namun ia tidak akan melemahkan semangat untuk menabur kepada masyarakat yang berada luar bandar ini.

“Pendidikan hari ini adalah pendidikan global dan semua murid tidak terkecuali termasuk anak-anak Orang Asli menerima pendidikan dengan sempurna. Kalau bukan saya yang membuka mata mereka , siapa lagi. Saya juga daripada masyarakat Orang Asli dan akhir nya berjaya menjadi guru. Ini satu titik mula kepada saya membangkitkan kesedaran ibu bapa itu sendiri tentang kepentingan menuntut ilmu,” ujar Julie. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN