TELUK INTAN: Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, hanya mengingati bunyi dentuman kuat sebelum mendapati dirinya terbaring di lantai trak.
Dia merupakan antara sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang cedera dalam nahas di Jalan Chikus – Sungai Lampam dengan lori membawa muatan batu pada pagi Selasa lalu.
Katanya, semasa nahas itu berlaku, dia hanya mendengar bunyi brek secara mengejut, dentuman kuat sebelum menyedari berada di lantai trak polis itu.
‘Saya dalam keadaan separuh sedar sebelum ada anggota daripada trak lain menarik saya keluar.
“Kejadian berlaku begitu pantas sebelum saya dikejarkan ke hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dia dibenarkan keluar selepas menjalani rawatan di Hospital Teluk Intan sebelum pulang ke rumah keluarga di Arau,Perlis.
Terdahulu, Dia dikunjungi oleh Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin di sebuah rumah rehat di Taman Melor di sini.
Muhammad Aniq masih terkejut ekoran nahas ngeri itu menganggap semua sembilan anggota yang meninggal dunia dalam nahas itu seperti abang kandungnya sendiri.
“Setiap hari di dalam wad saya memikirkan keadaan mereka. Berat untuk menerimanya kerana kehilangan kawan-kawan seperjuangan.
“Saya anggap mereka senior-senior (abang kandung),” katanya.
Sementara itu, Bakri berkata, polis bersama pihak Medifa Care Ambulans Teluk Intan telah menguruskan rumah rehat untuk waris dan pengangkutan ambulans untuk mangsa pulang ke rumah keluarganya di Arau, Perlis.
“Mangsa (Muhammad Aniq) tidak boleh duduk dan kami terpaksa menggunakan perkhidmatan ambulans.
“Beliau mengalami kecederaan dalaman iaitu di paru-paru dan lebam dipinggang,” katanya. – UTUSAN