SUBANG JAYA: “Anak sulung saya sudah tidak mahu balik ke asrama sejak kejadian. Dia masih trauma dan setiap hari telefon saya.”
Demikian luahan Hasrina Nordin, 39, suri rumah dari Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights di sini yang kini berdepan perubahan drastik dalam kehidupan selepas tragedi letupan paip gas yang berlaku sebulan lalu.
Katanya, sejak terpaksa berpindah ke Seksyen 27, Shah Alam, rutin harian berubah sepenuhnya demi memastikan anak-anak terus bersekolah dalam keadaan stabil, termasuk memberi perhatian khusus kepada emosi anak sulungnya, Rafeeq Rizqee, 13, yang tinggal di asrama.
“Dia masih takut. Awal-awal dia langsung tak nak balik ke asrama sebab sedih tinggalkan kami. Sekarang dia sudah kembali ke asrama di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sabak Bernam, tapi tetap telefon setiap hari untuk bertanya khabar,” katanya.
Menurut Hasrina, Rafeeq sering meluahkan rasa rindu terhadap rumah lama dan bimbang dengan keadaan keluarga yang kini menyewa sementara selepas kediaman mereka musnah dalam letupan itu.
“Dia selalu tanya, ‘kita hendak duduk mana lepas ini?’ dan ‘rumah kita sudah pulih sepenuhnya ke belum?’. Saya sendiri tidak ada jawapan yang pasti.
“Tapi saya cuba kuatkan diri untuk tenangkan dia,” ujarnya.
Tambahnya, sebagai seorang ibu, menjadi cabaran besar untuk memulihkan semangat anak-anak sambil menguruskan kehidupan yang serba kekurangan tanpa kemudahan asas. – UTUSAN