PASIR MAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera parah ditikam bapanya yang dipercayai mengalami kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, di sini hari ini.
Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa ditikam di bahagian perut oleh bapanya yang merupakan seorang guru dan keadaannya stabil selepas dibawa keHospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, dekat sini.
Moyang mangsa, Mohd. Yusof Sulaiman, 77, berkata, dia tiada di rumah semasa kejadian berlaku kerana keluar bersarapan di sebuah kedai kopi.
Katanya, dia tinggal di sebelah rumah mangsa terkejut melihat bapa kanak-kanak itu berada seorang diri di atas tangga semasa tiba di rumah.
“Isteri dan lima anaknya juga tiada dirumah kerana bermalam di rumah ibu bapa yang terletak hanya 500 meter dari lokasi kejadian. Saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga polis datang ke rumah menangkapnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Ahmad berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas melihat mangsa yang berlumuran darah dibawa keluar dari rumah berkenaan.
Menurutnya, mangsa membonceng motosikal yang ditunggang datuknya sambil bersandar pada dada bapa saudara yang bersama-sama membonceng motosikal itu untuk ke hospital.
“Tiada sebarang bunyi bising dari rumah mereka sebelum kejadian berlaku. Suspek yang bekerja sebagai guru baru setahun menetap di sini kerana sebelum ini dia mengajar di Pahang. Isterinya juga seorang guru yang mengajar di Tumpat manakala suspek pula di Lubok Jong di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan laporan lanjut dalam tindakan pihak polis.