BALIK PULAU: Seorang budak lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan selepas tangannya tersepit pada rim motosikal dalam kemalangan di Jalan Tok Wan Don, berdekatan Masjid Jamek Permatang Pasir di sini, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.44 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Balik Pulau dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kejadian itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 yang dinaiki oleh seorang lelaki dipercayai bapa saudara dan kanak-kanak tersebut.
“Dalam kejadian itu, baju hujan yang dipakai kanak-kanak tersebut tersangkut pada rim motosikal sehingga menyebabkan tangannya tersepit. Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurucakap tersebut, mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.58 pagi. – UTUSAN