BATU PAHAT: Seekor buaya betina seberat 410 kilogram (kg) ditangkap dalam kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Kampung Parit Gantong Laut, Parit Lapis, Taman Nira, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Nur Eddy Paiman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.30 pagi memaklumkan buaya sepanjang 4.5 meter itu ditangkap oleh orang awam.
“Anggota bomba bertindak menyerahkan buaya berkenaan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Operasi turut dibantu empat anggota Perhilitan dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan operasi tamat pada pukul 10.45 pagi. – UTUSAN