Bilik darjah pendidikan khas panas, anak istimewa terganggu

Bilik darjah pendidikan khas panas, anak istimewa terganggu

KHOO Poay Tiong (depan, tengah) bersama barisan guru pendidikan khas dari 26 buah sekolah dalam Parlimen Kota Melaka, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 26 buah sekolah yang mempunyai kelas pendidikan khas dalam Parlimen Kota Melaka bakal menerima peruntukan khas bagi menaik taraf kemudahan bilik darjah termasuk pemasangan penyaman udara.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, langkah itu diambil selepas beliau melihat sendiri keadaan kelas yang panas dan tidak selesa sehingga mengganggu emosi murid.

“Kelas pendidikan khas tidak boleh panas. Anak-anak ini perlukan suasana pembelajaran yang selesa. Saya akan bantu pastikan bilik darjah mereka lengkap dengan penyaman udara dan keperluan lain.

“Peruntukan khas ini boleh dimohon melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan akan disalurkan terus ke akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah. Saya tidak tetapkan had peruntukan. Asalkan permohonan jelas, kita akan pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Taklimat Peruntukan Pembangunan Pendidikan Khas Parlimen Kota Melaka yang menghimpunkan wakil 20 sekolah rendah dan enam sekolah menengah.

Tambah Poay Tiong, semua 26 sekolah yang mempunyai kelas pendidikan khas akan tetap menerima bantuan, tanpa pengecualian.

Katanya, sebanyak RM1.22 juta telah disalurkan kepada sekolah-sekolah di Kota Melaka pada 2023 dan meningkat kepada RM1.55 juta tahun lalu.

“Tumpuan kali ini diberikan sepenuhnya kepada pendidikan khas kerana murid dan guru terlibat berdepan cabaran lebih besar.

“Mereka juga berhak menikmati kemudahan setaraf dengan pelajar lain. Jangan abaikan mereka. Saya minta ibu bapa juga terima saranan pakar jika anak mereka perlu ke kelas khas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN