Bersara 65 tahun: Timbulkan jurang generasi dalam pasaran kerja - Utusan Malaysia

Bersara 65 tahun: Timbulkan jurang generasi dalam pasaran kerja

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan untuk melanjutkan had umur persaraan kepada 65 tahun seolah-olah tidak sensitif terhadap realiti jurang antara generasi dalam pasaran kerja di mana masih ramai graduan masih bergelut untuk mendapatkan pekerjaan tetap.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia akan mewujudkan implikasi sosioekonomi yang boleh memberi kesan negatif kepada prospek pekerjaan dan pembangunan belia negara.

Jelasnya, peralihan tenaga kerja antara generasi perlu diurus secara seimbang dan inklusif.

“Ini bukan isu memilih antara yang muda atau yang tua, sebaliknya adalah soal memastikan wujudnya dasar yang adil untuk menjamin keterjaminan ekonomi semua pihak terutama generasi muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.

“Meningkatkan umur persaraan bukan sekadar soal kemampuan bekerja tetapi juga soal keadilan ekonomi dan hak generasi muda untuk memperoleh peluang yang saksama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Menurut beliau, pandangan secara peribadi itu dilontarkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap jumlah individu yang berusia 60 tahun ke atas dilihat masih sihat, aktif dan berkemampuan untuk terus menyumbang perkhidmatan mereka.

Sementara itu, menurut Mohd. Izzat, peningkatan had umur persaraan juga secara langsung mengurangkan kadar penggantian pekerja dalam pasaran buruh sekali gus mengecilkan peluang pekerjaan untuk golongan belia.

“Sebagai contoh, peningkatan usia persaraan dari 55 ke 60 tahun pada 2013 dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda.

“Dalam konteks semasa, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun dan ramai daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap,” katanya.

Beliau turut berkata, cadangan berkenaan juga terlalu umum dan cenderung kepada pengalaman penjawat tinggi dalam sektor profesional.

Katanya, tidak semua warga emas berada dalam keadaan fizikal yang membolehkan mereka terus bekerja secara efektif.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN