REMBAU: Seorang peniaga kedai runcit mengalami kerugian selepas sejumlah barangan jualannya seperti beras dan gula dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di Rembau Central di sini pagi semalam.
Peniaga, Nurasyikin Ishak, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika dua orang pekerja turut berada di kedai itu.
“Lelaki itu datang dan memberitahu mahu membeli barang bagi kegunaan kedai makan tempatnya bekerja.
“Selepas membuat pesanan dia meminta pekerja saya membawa masuk barangan ke dalam keretanya, namun pekerja saya enggan kerana bayaran perlu dibuat terlebih dahulu.
“Kemudian dia meminta pekerja saya mengambil sepukal gula dan beberapa barangan lain dan ketika itulah dia melarikan diri bersama barangan yang belum dibayarnya,” katanya ketika ditemui.
Nurasyikin berkata, pada mulanya dia menularkan video kejadian itu yang diambil melalui rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan memberi peluang kepada lelaki itu untuk datang semula dan membuat pembayaran.
Bagaimanapun tiada sesiapa yang tampil malah tiada sesiapa juga yang mengenali lelaki itu.
Tambahnya, berikutan kejadian itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM600 termasuk 15 kampit beras yang dilarikan lelaki tersebut.
Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Chembong hari semalam dan berharap lelaki tersebut dapat dikesan untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN