PETALING JAYA: Sebuah bengkel kereta dan motosikal musnah dalam kebakaran di Lebuhraya Bukit Jalil, Bandar Puchong Jaya, Puchong, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.56 pagi sebelum tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Norisham Yusoff kemudian melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bengkel kereta dan motosikal.
“Bangunan tersebut dikelaskan sebagai bangunan kelas B dengan anggaran keluasan 80×60 kaki persegi dan kebakaran telah memusnahkan 70 peratus premis terbabit.
“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian dan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih di dalam siasatan.-UTUSAN