PETALING JAYA: Sebuah bengkel kereta dan motorsikal terletak bersebelahan Lebuhraya Bukit Jalil, Bandar Puchong Jaya dekat sini, musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Tiada mangsa terlibat dalam kebakaran itu.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.56 pagi.
Katanya, tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, Subang Jaya dan Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi. Turut terlibat BBP Damansara.
“Setiba di lokasi, kebakaran melibatkan sebuah bengkel kereta dan motosikal. Bangunan tersebut dikelaskan sebagai bangunan kelas B dengan anggaran keluasan 80 x 60 kaki persegi dan kebakaran telah memusnahkan 70 peratus premis terbabi,” katanya dalam kenyataan.
Antara aset yang digunakan dalam operasi termasuk tiga jentera FRT, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux, sebuah kenderaan BATV dan sebuah jentera tangki air.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- UTUSAN