‘Belum tiba musim pilihan raya, fokus khidmat kepada rakyat’

‘Belum tiba musim pilihan raya, fokus khidmat kepada rakyat’

TUNKU Mahkota Ismail menerima tabik hormat semasa memeriksa perbarisan sebelum merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini supaya memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat sambil menegaskan belum tiba musim pilihan raya.

Baginda bertitah bahawa rakyat memerlukan ADUN yang bertanggungjawab dan berkesan untuk berkhidmat serta membantu meningkatkan taraf mereka dan membangunkan negeri ini.

“Saya turut ingin mengingatkan semua ADUN bahawa sekarang bukan musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

“Setiap daripada anda telah dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi, sila fokus kepada tanggungjawab tersebut,” titah baginda semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan harapan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) Johor terus menjadi contoh sebagai dewan negeri yang harmoni, bukan medan untuk bertelagah dan melepaskan emosi demi kepentingan politik peribadi.

“Sebaliknya, dewan ini merupakan wadah untuk membincangkan dasar, menggubal undang-undang dan yang paling utama memperjuangkan nasib serta kebajikan rakyat Johor.

“Saya harap agar keharmonian yang menjadi tradisi DUN Johor akan dicontohi dan terus dipelihara. Jangan biarkan percakaran menjadi budaya dan jangan jadikan dewan ini bahan ketawa rakyat,” titah baginda.

Baginda juga mengingatkan semua wakil rakyat supaya menjaga adab serta  menghormati institusi DUN Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN