KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi, 33, mengakui dia belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki sebagai teman hidupnya.
Penyanyi lagu Pujaan Hati ini buat masa ini selesa menjadi ibu tunggal dan hanya mahu memberi tumpuan membesarkan empat anaknya.
“Fokus saya, selain besarkan anak-anak, adalah untuk menjaga kesihatan saya. Buat masa ini saya tak mahu fikir soal berteman sebab anak-anak masih kecil dan perlukan lebih perhatian dan kasih sayang ibu bapa mereka,” katanya.
Adira berkata demikian selepas mempromosikan konsert Meletop TVS di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Adira sebelum ini bergelar isteri Datuk Adnan Abu (Datuk Red) sejak tahun 2015. Bekas pasangan suami isteri itu bagaimanapun bercerai pada April tahun lepas.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayoub.
Kata Adira, dia selesa dengan kehidupan sebagai ibu tunggal dan tidak pernah berasa sunyi selepas bercerai.
“Hidup saya dilengkap dengan kasih saya dan perhatian anak-anak, keluarga dan rakan-rakan. Sistem sokongan saya besar.
“Tambahan pula sekarang ini saya tinggal bersama adik beradik saya. Perhatian yang saya terima sekarang ini sudah mencukupi, Alhamdulillah.
“Tapi saya tak boleh tolak jodoh kalau sudah ditentukan Allah. Cuma buat masa sekarang saya belum perlukan lelaki dalam hidup saya,” kongsinya. – UTUSAN