Belia perlu dipersiapkan untuk kepimpinan masa depan

Belia perlu dipersiapkan untuk kepimpinan masa depan

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran Sambutan Hari Belia 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Sungai Chuchu, Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Golongan belia di negara ini perlu dipersiapkan dalam segala aspek agar dapat menjadi pelapis kepemimpinan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bermula tahun hadapan, peraturan kepimpinan belia bawah umur 30 tahun juga akan dikuatkuasakan seperti mana termaktub dalam Akta 668.

Beliau berkata, berikutan itu, persatuan-persatuan belia seharusnya bersedia dengan pelan transisi kepimpinan mereka bagi meneruskan kesinambungan pergerakan dan aspirasi pembangunan golongan tersebut.

“Banyak cabaran dan perkara yang kita perlu susuli dalam ketersediaan anak muda untuk teruskan masa depan negara menerusi persediaan lebih awal.

“Sebab itu pelaksanaan kepimpinan belia bawah umur 30 tahun bermula tahun hadapan ini merupakan momen amat penting di negara kita,” katanya selepas Pelancaran Sambutan Hari Belia 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Sungai Chuchuh, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Akmal berkata, berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), populasi belia di negara ini pada tahun lalu adalah seramai 9.5 juta bermula dari lingkungan usia 15 hingga 30 tahun.

“Manakala statistik populasi belia di negeri ini pula adalah direkodkan seramai 96,400, katanya.

Di samping itu, Akmal berkata, golongan belia sebagai pemimpin masa depan juga perlu memainkan peranan penting dalam mendorong perubahan ke arah pembangunan mampan.

Beliau berkata, situasi dunia yang dipacu oleh digitalisasi dan globalisasi turut membuka peluang luas buat golongan belia meneroka potensi diri serta memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

“Namun untuk merebut peluang ini, golongan belia perlu bersedia secara mental, fizikal dan intelektual,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN