KANGAR: Bermula mempelajari teknik taranum seawal usia 12 tahun selain terus istiqamah dengan bacaan al-Quran menjadi antara faktor kejayaan qariah dari Terengganu, Wan Sofea Aini Wan Mohd. Zahidi, 31, yang muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan 2020 di sini, semalam.
Guru al-Quran itu berharap kemenangan tersebut dapat memberi inspirasi kepada semua pihak termasuk golongan muda agar terus istiqamah membaca al-Quran.
Wan Sofea yang juga mengajar al-Quran di kampung-kampung dan masjid itu berkata, untuk berada dalam bidang tersebut perlu sentiasa istiqamah selain mempunyai sifat merendah diri.
“Betulkan niat, jangan rasa diri kita lebih baik daripada orang lain dan sentiasa istiqamah membaca al-Quran ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Johan Qari pula dimenangi Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, 27, dari Perak sekali gus bakal mewakili negara dalam tilawah peringkat antarabangsa.
Kedua mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Selain itu, mereka juga menerima satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar kurniaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan, Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta kerajaan negeri.
Sementara itu, Kedah dinobatkan sebagai juara keseluruhan sementara bagi kategori hafazan 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak dan Putri Auni Khadijah Mohd. Hanif dari Kelantan diumumkan sebagai pemenang masing-masing bagi kategori lelaki dan perempuan.
Selain itu, Muhammad Imran Hussin dari Selangor pula meraih tempat pertama untuk kategori hafazan 20 juzuk bagi kategori lelaki manakala bagi kategori perempuan disandang Siti Khadijah Anuar dari Selangor.
Bagi kategori hafazan 10 juzuk berserta taranum pula, johan menjadi milik Mohamad Khayruddin Zakwan Jaimis dari Sabah untuk bahagian lelaki, manakala Shashahani Irdina Shamsul Rizal dari Selangor pula mengungguli bahagian perempuan.
Majlis penutup tilawah berkenaan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin dan turut berangkat Tuanku Tengku Fauziah serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar; Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee. – UTUSAN











