SEREMBAN: Seorang bekas Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan bersama seorang individu lain dan syarikat milik mereka didakwa meletakkan buangan kimia pelarut organik bukan terhalogen secara haram di Port Dickson, tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS) iaitu bekas penjawat awam, S.Sivanathiran, 62, dan Chan Kwai Soon, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai pengarah syarikat didapati telah meletakkan buangan terjadual dengan kod SW322 iaitu buangan pelarut organik bukan terhalogen seperti disenarai dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 tanpa mendapat kelulusan daripada ketua pengarah.
Pada prosiding di mahkamah, Syarikat Nature Energy Products Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Kwai Soon turut tidak mengaku atas pertuduhan sama.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4.30 petang di Lot 11224, Mukim Jimah, Port Dickson pada 14 Oktober 2024.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34B(1)(a),Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34B(4) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM10 juta.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya JAS, Nurliyana R Azmi mencadangkan jaminan yang tinggi sebanyak RM50,000 dikenakan kepada setiap OKS selain memohon syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.
Pihak pembelaan yang diwakili Ramzani Idris dan Haresh Mahadevan berhujah tiada apa-apa keperluan dan indikasi untuk OKS tidak hadir ke mahkamah, malah mereka memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
Tambahnya, kedua-kedua OKS merupakan ahli perniagaan dengan salah seorang merupakan bekas penjawat awam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 kepada setiap OKS beserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat JAS sekali setiap bulan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Julai depan. – UTUSAN