PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kira-kira RM2.5 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 18 Mei ini terhadap seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab. Shukor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan kira-kira antara pukul 4 petang dan 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024 yang melibatkan tuntutan bayaran balik dan bayaran bonus berjumlah kira-kira RM2.5 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN