KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 10 pertuduhan melibatkan aktiviti pasaran modal tanpa lesen dan mengemukakan representasi palsu berhubung pembelian skim pelaburan berjumlah RM3.16 juta, lima tahun lalu.
Tertuduh, Razrul Anwar Rosli, 45, didakwa menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan berdaftar bagi aktiviti berniaga dalam sekuriti di sebuah rumah di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021.
Pertuduhan didakwa mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah subsekyen 58(4) akta sama membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga berdepan lapan pertuduhan menipu lima individu dengan memindahkan wang milik berjumlah RM3.16 juta ke empat akaun bank iaitu Wakala Ventures, AML Global, EMD Media Digital dan AMT Global Business di Maybank Islamic Berhad dan Malayan Banking Berhad bagi tujuan skim pelaburan bon patuh syariah dikenali sebagai Amal Trust dimana representasi tersebut adalah palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan empat lokasi iaitu di Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Bandar Puchong Jaya, Pandan Indah dan Jalan Jelutong, Pulau Pinang antara Januari 2020 dan April 2021 dituduh mengikut Subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671).
Razrul berdepan satu lagi pertuduhan sebagai seseorang bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal telah mempamerkan gelaran pematuhan kepada undang-undang sekuriti di laman sesawang ‘Amal Trust’ yang mewujudkan kepercayaan dilesenkan untuk berniaga dalam sekuriti.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021, dituduh mengikut subseksyen 362(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 372(1) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Hashley Tajudin dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, semua pertuduhan merupakan kesalahan tidak boleh dijamin namun mencadangkan jaminan RM1 juta bagi semua pertuduhan sekiranya mahkamah mahu membenarkan tertuduh diikat jamin.
Selain itu, pendakwaan memohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC dan dua penjamin warganegara.
Peguam bela, Mohd. Syamril Afzan Mohd. Hasim yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sekitar RM50,000 dengan alasan anak guamnya berstatus muflis serta menjaga ibunya.
Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin warganegara berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan kes.-UTUSAN