Bedah siasat jenazah selesai tengah malam - Utusan Malaysia

Bedah siasat jenazah selesai tengah malam

VAN terakhir membawa jenazah Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan ke Surau Ar-Rahman di IPD Hilir Perak di Teluk Intan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Jenazah sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini hari ini selesai dibedah siasat pada tengah malam.

Jenazah tujuh anggota beragama Islam dan dua jasad anggota bukan Islam itu selesai dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan selesai pada pukul 12.33 tengah malam.

Proses bedah siasat yang bermula pukul 2.30 petang itu melibatkan tiga doktor pakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Selepas proses bedah siasat selesai, kesemua jenazah anggota beragama Islam disembahyangkan di Surau Ar-Rahman IPD Hilir Perak di sini  sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.

Jasad mendiang Sarjan S. Perumal dan Koperal Nurit Pandak turut dibawa ke IPD Hilir Perak sebelum jenazah kesemua anggota tersebut dibawa serentak ke Sungai Senam.

Lapan daripada sembilan mangsa dikebumikan di Perak dan seorang di Lunas, Kedah.

Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, dikebumikan di Meru, Ipoh manakal Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41, di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau.

Jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, dikebumikan di Kampung Sungai Itek, Gopeng; Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, di Masjid Simpang, Taiping dan Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, di Kampung Parit Teluk Piai, Kuala Kurau.

Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dikebumikan di Tanah Perkubutan Islam Kampung Kepayang, Ipoh dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, Lunas Kedah.

Jasad mendiang Sarjan S. Perumal, 44, akan dibawa ke Krematorium Buntong manakala Koperal Nurit Pandak, 34, pula dibawa ke Kampung Batu Berangkai, Kampar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN