Beberapa wakil syarikat dipanggil SPRM kes palsu ikrar barangan

Beberapa wakil syarikat dipanggil SPRM kes palsu ikrar barangan

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil wakil syarikat berkaitan untuk dirakam keterangan membantu siasatan berhubung dakwaan penyeludupan bahan berbahaya melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan memalsukan pengikraran kandungan sebagai barangan isi rumah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, buat masa ini, wakil daripada beberapa syarikat sudah dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan. 

Katanya, pada masa yang sama, SPRM sedang meneliti dengan terperinci semua prosedur sedia ada berkaitan pengurusan keluar masuk barangan ke dalam pesawat.

“SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa agensi penguat kuasa yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam aspek keselamatan penumpang dan barangan yang dibawa masuk melalui pintu masuk lapangan terbang di seluruh negara.

“Siasatan turut merangkumi usaha mengenal pasti sama ada wujud sebarang cubaan merasuah pegawai agensi penguat kuasa di KLIA oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya bagi tujuan mengelak daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Menurutnya, pihaknya turut meneliti aspek tata kelola pengurusan keluar masuk barang di pintu kargo, bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi dan tiada ruang kelemahan atau ketirisan yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Jelasnya, setakat ini SPRM sudah memanggil seramai lapan orang saksi yang dikenal pasti mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan isu yang sedang disiasat.

“Tindakan ini bagi tujuan mendapatkan keterangan serta melengkapkan keseluruhan proses siasatan. 

“Pasukan siasatan juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil lebih ramai individu sebagai saksi pada peringkat seterusnya, bergantung kepada keperluan, maklumat baharu yang diterima serta perkembangan semasa siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyeludupan bahan berbahaya melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dipercayai dilakukan dengan memalsukan pengikraran kandungan sebagai barangan isi rumah.

Kes itu mencetuskan kebimbangan berikutan dua insiden kebakaran yang berlaku di lapangan terbang berkenaan pada tahun lalu, dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang tidak diisytiharkan dengan betul.

Siasatan awal mendapati, kelemahan daripada segi tatakelola dan pengawasan membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan, termasuk kegagalan dalam proses pengisytiharan DG oleh syarikat penghantar.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya