PETALING JAYA: Taska di Taman Danau Kota dekat sini yang terbabit kes kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan diarahkan tutup.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, taska itu diarahkan untuk memberhentikan operasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Penutupan itu kerana berlaku kes kematian,” katanya di sini hari ini.
Semalam, semakan JKM terhadap taska di Taman Danau Kota dekat sini yang terbabit dalam kejadian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan ditemukan tidak sedarkan diri adalah berdaftar.
Taska berkenaan sudah memperbaharui pendaftaran dengan JKM Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu hingga 23 Januari 2030.
Kapasiti kanak-kanak di taska berkenaan adalah seramai 51 orang dan ketika siasatan untuk pendaftaran, jumlah kanak-kanak di premis berkenaan adalah 36 orang.
Berhubung kejadian berkenaan, JKM sudah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat awal berkaitan kes itu.
Terdahulu media melaporkan, Muammar Adli ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Danau Kota dekat sini kelmarin sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.08 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku antara 9 pagi hingga 11 pagi.
Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa di Balai Polis Setapak pada 1.26 tengah hari, hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN