MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan parah selepas disyaki menjadi mangsa dera ibunya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Petai, Alor Gajah di sini, kelmarin.
Mangsa difahamkan dibawa oleh ibunya ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 6 petang sebelum wanita itu meninggalkan bayi berkenaan dengan mendakwa kononnya mangsa mengalami serangan sawan.
Sumber berkata, bayi malang itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut sebelum pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan menemukan kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan serta leher mangsa.
“Lebih menyayat hati, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan pendarahan lama dan baharu dalam kepala bayi itu yang disyaki akibat hentakan atau kecederaan luaran.
“Susulan itu, doktor berkenaan membuat laporan polis kerana mengesyaki bayi menjadi mangsa penderaan,” katanya.
Tambah sumber, mangsa sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka dalam keadaan parah dan masih belum sedarkan diri.
Katanya, hasil siasatan awal membawa kepada penahanan ibu kandung mangsa yang berusia 22 tahun di kediamannya di Sungai Petai kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Turut ditahan bapa kandung bayi berkenaan yang juga berusia 22 tahun dan merupakan seorang penganggur.
“Permohonan reman terhadap wanita itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut. – UTUSAN