MELAKA: Perkhidmatan bas henti-henti yang dihentikan di sekitar Duyong sejak setahun lalu akan kembali beroperasi melalui perkhidmatan Bas.My Melaka tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem berkata, pengurusan Bas.My Melaka telah menyatakan persetujuan untuk perkhidmatan itu kembali beroperasi, namun perlu membuat kajian mengenai laluan baharu yang akan diputuskan kelak.
Menurutnya, simulasi laluan bas telah dilakukan semalam melalui Semabok Luar, Semabok Dalam, Duyong Tengah, Permatang Duyong, Seri Duyong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek.
“Kajian laluan di sekitar Duyong oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan akan menentukan kewajaran perkhidmatan bas henti-henti diwujudkan kembali kerana saya perlu realistik, bimbang tidak ada orang yang hendak naik bas.
“Banyak yang saya bincangkan berkaitan tempoh perjalanan, bagaimana laluan hendak ke Duyong dengan tempoh masa yang munasabah, kekerapan dan paling penting bas ini melalui kawasan sekolah kerana ada ibu bapa yang tidak mempunyai kenderaan menghantar anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan makanan ringan sempena Sambutan Hari Guru di SMK Seri Duyong di sini, hari ini.
Perkhidmatan bas henti-henti dihentikan di Duyong selepas pengambilalihan Bas.My Melaka daripada Panorama Sdn. Bhd. pada Oktober tahun lalu.
Tambah Mohd. Noor Helmy, beliau telah meminta syarikat bas memberikan tiga pilihan laluan terutama di Duyong dan Ayer Molek.
Katanya, jika menjadi kenyataan, ia akan memberi manfaat kepada 10,000 penduduk yang sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai kenderaan selain motosikal.
“Saya mengadakan perbincangan selepas menerima banyak permintaan daripada penduduk di Duyong yang sangat memerlukan perkhidmatan bas henti-henti diadakan semula terutama untuk memudahkan anak-anak hendak ke sekolah,” ujarnya. – UTUSAN