PASIR MAS: Seorang bapa dipercayai menikam anak lelakinya dalam kejadian di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di sini pada 2 Mei lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, proses tersebut akan berlangsung pukul 9 padi di Mahkamah Sesyen Pasir Mas.
“Pertuduhan terhadap suspek yang merupakan seorang guru dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.
“Kertas siasatan berhubung kes tersebut sudah lengkap,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera parah ditikam bapanya yang dipercayai mengalami kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, di sini hari ini.
Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa ditikam di bahagian perut oleh bapanya yang merupakan seorang guru dan keadaannya stabil selepas dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.-UTUSAN