Bantah projek kelapa jadi tapak rumah

Bantah projek kelapa jadi tapak rumah

ABD. Wahid Kasim (kanan) dan Ab. Ghani Tek menunjukkan kawasan projek tanaman kelapa pandan yang diusahakan di Kampung Tebing Tembah, Dungun, Terengganu. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seramai 96 peserta tanah kelompok projek kelapa pandan di Kampung Tebing Tembah, Paka dekat sini, membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa mahu menarik balik tanah itu untuk dibangunkan sebagai rancangan tanah berkelompok (RTB) tapak rumah.

Pengerusi Penyelaras Projek Kelapa Pandan Kampung Tebing Tembah, Abd. Wahid Kasim berkata, peserta terlibat kecewa apabila projek tanaman yang diusahakan di kawasan seluas 40 hektar sejak 2006 terpaksa diserahkan kepada kerajaan negeri.

Katanya, setiap peserta menanam kelapa pandan di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar seorang dan pada masa ini mereka memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Katanya, peserta mendapat hasil daripada tanaman tersebut dengan menjual buah kelapa, air nira, anak benih dan produk-produk hiliran berasaskan kelapa.

“Tapak projek ini dahulu adalah kawasan paya bakau di­penuhi semak samun dan peserta membanting tulang membersihkan kawasan tersebut sebelum diusahakan tanaman kelapa pandan.

“Apabila kawasan telah bersih dan peserta dapat mengutip hasilnya, tiba-tiba kerajaan negeri ingin merampas tanah ini untuk diserahkan kepada pihak lain untuk tapak rumah,” dakwanya ketika ditemui.

Abd. Wahid mendakwa, ke­putusan kerajaan negeri menarik balik tanah itu juga dilakukan secara mengejut tanpa perbincangan dengan peserta terlebih dahulu.

Katanya, pihaknya telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat berhubung bantahan terhadap tindakan itu.

Seorang peserta projek, Ab. Ghani Tek, 69, berkata, dia akan hilang pendapatan apabila tanah tersebut diambil semula kerajaan negeri.

Katanya, selain menanam kelapa pandan, dia turut menternak lembu di kawasan sama untuk menambah pendapatan.

“Tanah yang kami usahakan ini tidak sepatutnya diusik kerajaan negeri memandang­kan masih terdapat banyak tanah kosong lain termasuk di kawasan seluas 750 hektar di tapak rancangan Bandar Baharu Durian Mentangau, tidak jauh dari kampung ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya