KUALA PILAH: Bangunan lama Stesen Kereta Api Kuala Pilah di sini, kini terbiar dan menjadi mangsa perbuatan vandalisme, sekali gus mencemarkan nilai sejarah dan warisan kawasan itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan dalaman bangunan kayu itu sangat daif dengan dipenuhi sampah-sarap berselerakan.
Dinding pula diconteng dengan pelbagai lukisan dan tulisan yang menjejaskan penampilan struktur bersejarah itu.

Stesen yang pernah menjadi pusat pengangkutan penting bagi penduduk sekitar, dibimbangi mengundang pelbagai aktiviti tidak sihat.
Rata-rata penduduk ketika ditemui menggesa pihak berwajib memelihara bangunan itu kerana ia bukan sahaja menjamin kebersihan dan keselamatan, malah dapat memperkenalkan kembali sejarah Pekan Kuala Pilah.
Seorang peniaga, Mohd. Rafi Ibrahim, 61, berkata, selepas stesen kereta api itu ditutup, ia pernah dijadikan sebagai pejabat penghulu sekitar 1950 sehingga 1980.
“Dulu saya juga sempat berurusan di pejabat penghulu di situ, namun selepas 1980, bangunan itu terus terbiar kosong,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Yen Yoon Sun, 72, memberitahu, dia menyimpan sekeping gambar lama Stesen Kereta Api Kuala Pilah yang diwarisi daripada datuk dan bapanya.
“Buka laci ayah terjumpa sekeping gambar, mula-mula pelik, rupanya gambar bangunan itu. Sejak saya letak di kedai ramai yang datang sini mahu tengok rupa asal binaan stesen kereta api itu terutama pengumpul gambar lama,” katanya.
Dalam pada itu, guru, Ng Chen Siang, 25, mencadangkan ia dijadikan muzium tempatan kerana mampu menjadi tarikan pelancongan, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk sekitar.
“Saya mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memelihara dan membaiki bangunan stesen lama itu sebagai muzium yang mempamerkan sejarah-sejarah pekan ini atau letak replika kereta api untuk dijadikan tarikan pelancong,” katanya.
Stesen Kereta Api Kuala Pilah merupakan salah satu stesen landasan kereta api menghubungkan Bahau dan Kuala Pilah sejauh 21.7 kilometer (km) yang ditamatkan perkhidmatan sekitar 1939. – UTUSAN