PORT DICKSON: Bangkai seekor penyu agar betina dianggarkan berusia 50 tahun dan seberat 100 kilogram ditemukan di Pantai Telok Kemang, di sini, Ahad lalu.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, bangkai penyu dewasa berukuran 94 sentimeter (cm) panjang dan 85 cm lebar itu ditemukan orang awam dalam keadaan terdampar.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap luaran badan penyu tersebut, tiada sebarang luka dikesan dan tiada tag pada kaki renang.
“Penyu yang ditemukan mati dan terdampar di pantai sekitar Port Dickson ini adalah kali keempat pada tahun ini. Pemeriksaan fizikal kami, penyu ini mati kemungkinan lebih 48 jam dari tarikh dijumpai.
“Bangkai penyu ini seterusnya ditanam di kawasan berpasir yang tidak ditenggelami air laut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Kasim lagi, sehingga semalam, terdapat 15 sarang penyu mendarat yang telah dijumpai dengan bilangan sebanyak 1,695 biji telur. – UTUSAN