Bakal pelajar kolej matrikulasi tidak mengaku rogol gadis

Bakal pelajar kolej matrikulasi tidak mengaku rogol gadis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang remaja yang bakal menyambung pengajian ke kolej matrikulasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol pelajar tingkatan empat di bilik stor sebuah sekolah di Kuala Krai, tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 18 tahun dan merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun 11 bulan dalam kejadian di bilik stor sebuah sekolah di Kuala Krai, kira-kira pukul 3 petang pada April tahun lalu.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Norfarhan Liyana Wan Baharuddin. Terdahulu Ahmad Faiz mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Wan Norfarhan Liyana dalam rayuannya memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan anak guamnya baru menerima tawaran menyambung pengajian Program Matrikulasi di sebuah kolej pada 23 Jun ini.

“Tertuduh juga memerlukan masa dan sumber kewangan untuk membuat persiapan bagi melanjutkan pengajian. Selain itu, ibu bapa tertuduh hanya bekerja sebagai buruh dan pekerja kilang. Jadi, mereka tidak mampu menanggung jumlah jaminan yang tinggi,” katanya. 

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Jun ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN