PETALING JAYA: Usahawan terkenal, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman memilih untuk menyerahkan segala tuduhan yang tular di media sosial baru-baru ini kepada proses undang-undang yang sah.
Menerusi kenyataan, Azizan berkata, dia dan isterinya Datin Wira Hasdiana Ahmad dan Pengarah Eksekutif RichWorks, Puan Hasnita Ahmad kini berdepan satu writ saman yang telah difailkan terhadap mereka dan disebarkan secara terbuka oleh individu terlibat.
“Kami memilih untuk tidak melatah atau beremosi. Bagi kami, kebenaran tidak ditentukan oleh viraliti atau tekanan awam tetapi melalui prinsip keadilan dan bukti yang sah dalam sistem perundangan negara ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun pihak yang memfailkan saman berhak membawa kes ke mahkamah seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, mereka juga akan menggunakan hak yang sama bagi mempertahankan maruah serta kebenaran.
“Kami tidak akan membalas dengan kata-kata kesat, fitnah atau drama di media sosial kerana itu hanya akan mencemarkan institusi kehakiman,” katanya.
Tambah Azizan, orang ramai, khususnya para usahawan dan pemimpin, agar terus berpegang pada nilai serta menyelesaikan sebarang konflik melalui saluran undang-undang dan bukannya di media sosial.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberi sokongan dan mendoakan saya sekeluarga.
“Kebenaran tidak memerlukan suara paling lantang, hanya keyakinan, prinsip, dan bukti yang kukuh,” katanya. – UTUSAN