MIRI: Pengacara, Hawa Rizwana, mengimpikan sebuah perkahwinan seperti kedua ibu bapanya yang sudah bertahan lebih dari tiga dekad.
Bila bercakap tentang jodoh, Hawa atau Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 30, sentiasa mengingati pesan bapanya untuk mencari seorang lelaki yang boleh dianggap sebagai teman baik sepanjang hidup.
“Saya sedih pula bila bercakap tentang ini sebab kedua orang tua saya sudah menjaga saya sangat baik sejak kecil.
“Banyak pantang larang, dulu bersukan pun tak boleh. Waktu muda ada juga rasa protes tapi jika tidak kerana didikan mereka mungkin saya sudah jadi lebih teruk hari ini.
“Ibu kata, dia sudah jaga saya elok dan mahu saya mencari seorang lelaki yang bagus.
“Sementara ayah pesan carilah pasangan yang boleh dianggap sebagai kawan rapat,” katanya.
Hawa ditemui Utusan Malaysia sejurus Konsert MeleTOP TVS di Miri, baru-baru ini.
Menafikan sudah mempunyai teman istimewa, pelakon Raya Sebagai Isteri itu mengakui kesibukan kerja membuatkan beberapa usaha untuk mengenali mana-mana jejaka terhenti di tengah jalan.
“Baru-baru ini saya kerap dengar mungkin lelaki takut nak dekat dengan saya. Hairan juga sebab saya tak garang pun.
“Mungkin faktor kesibukan menyebabkan apa-apa hubungan ‘kawan’ tidak boleh diteruskan. Saya akan balas mesej lambat.
“Hidup saya bekerja sahaja. Jika balik sudah penat saya akan tidur. Masa turut menjadi punca,” ceritanya.
Bercakap mengenai lelaki idaman, Hawa berdoa agar dijodohkan dengan lelaki yang aktif dan boleh melakukan aktiviti lasak bersama-sama.
“Saya banyak bersukan. Seronok kalau jumpa seseorang yang boleh diajak menyelam, panjat gunung, naik basikal sama-sama.
“Selain itu boleh terima saya seadanya, bonus kalau dia comel.
“Saya masih berkawan, cuma tiada lagi yang boleh dibawa untuk dikenalkan kepada ibu ayah.
“Jika sudah jumpa baru orang tua baru boleh dianggap serius,” tambahnya. –UTUSAN