Aslam akui borang daftar pernikahan ada masalah teknikal - Utusan Malaysia

Aslam akui borang daftar pernikahan ada masalah teknikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasangan pempengaruh, Aslam Mazlan dan isteri keduanya, Marissa Dania muncul di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, tengah hari ini atas prosiding pengesahan nikah mereka yang sebelum ini berjalan di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Menurut Peguam syarie, Muhammad Ammar yang mewakili mereka, pihak mahkamah bagaimanapun menangguhkan prosiding itu pada tarikh seterusnya.

“Mahkamah menangguhkan prosiding hari ini sebab ini kali pertama kami hadir. Akan datang siasatan akan disambung.

“Bila tarikhnya, saya dimaklumkan anak guam untuk tidak memaklumkan,” katanya.

Sementara itu, Aslam berkata penundaan prosiding itu dilakukan hanya disebabkan masalah teknikal.

“Ada masalah sedikit berkenaan permohonan borang pengesahan pernikahan di luar negara, jadi kami diminta untuk mengemas kini maklumat peribadi dan datang semula pada tarikh lain.

“Saya tak boleh ulas dengan lebih terperinci kerana menghormati prosedur mahkamah. Kalau ada apa-apa mungkin peguam saya boleh jawabkan.

“Borang itu sudah lama kami serahkan kepada peguam. Semuanya akan diuruskan pihak peguam,” katanya.

Sementara itu, Marissa yang jalan beriringan dengan suaminya hanya mendiamkan diri seakan mengelak menjawab sebarang pertanyaan media.

Pasangan sensasi itu tiba di mahkamah dengan mengenakan pelitup muka terus bergegas pulang selepas satu jam berada dalam dewan bicara.

Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.

Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim dan Abby Abadi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN