ASEAN perlu AS$3 trilion jumlah pelaburan, sasar peralihan tenaga

ASEAN perlu AS$3 trilion jumlah pelaburan, sasar peralihan tenaga

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN memerlukan sekurang-kurangnya AS$3 trilion (RM12.61 trilion) dalam jumlah pelaburan menjelang 2050 untuk mencapai sasaran peralihan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia sahaja memerlukan lebih daripada AS$143 bilion (RM601.12 bilion) bagi merealisasikan aspirasi tenaga boleh baharunya di bawah Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Angka-angka ini menekankan satu kebenaran yang mudah tetapi mendalam pembiayaan awam sahaja tidak mencukupi.

“Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan-kerajaan di seluruh rantau ini mewujudkan persekitaran yang kukuh dan kondusif bagi merangsang pelaburan swasta, baik dari dalam mahupun luar negara, melalui pembaharuan dasar yang diselaraskan dan instrumen kewangan inovatif,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Peralihan Tenaga di ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Serantau di sini hari ini.

Katanya, Malaysia telah mula menyelaras dasar nasional dan landskap pembiayaan bagi menyokong usaha transformasi tenaga dan perubahan iklim.

“Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia menyedari bahawa daya saing dan cita-cita iklim perlu digerakkan secara seiring.

“Di peringkat nasional, kami telah melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat yang membolehkan pengguna elektrik berskala besar mendapatkan tenaga boleh baharu secara langsung daripada pemaju swasta.

“Ia menawarkan laluan pasaran yang didorong untuk penyahkarbonan,” katanya.

Selain itu, Fadillah berkata, Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon turut diperkenalkan dengan mekanisme Kontrak-untuk-Perbezaan (CfD) bagi meningkatkan kebolehbiayaan projek tenaga boleh baharu serta memberikan kepastian harga kepada pelabur.

“Bank Negara Malaysia pula menyediakan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon bagi menawarkan pembiayaan konsesi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melabur dalam teknologi bersih.

“Malaysia juga telah melancarkan Peta Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang merangka laluan negara untuk menjadi hab serantau hidrogen menjelang 2050 dengan tumpuan kepada infrastruktur, inovasi dan kerjasama antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN